PELABURAN EMAS
Di artikel yang bertajuk
Sistem Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu), disebut tentang: “Akhir-akhir ini, dek kerana harga emas dan perak yang melambung tinggi
serta kejatuhan wang fiat di sebelah Barat, orang ramai berpusu-pusu menukarkan
sebahagian harta mereka ke dalam bentuk emas dan perak kerana kedua logam
berharga ini kalis inflasi. Keghairahan fenomena ini turut menyumbang kepada
keadaan di mana peti simpanan deposit di bank-bank sekitar Kuala Lumpur dan
Selangor penuh!”
Dalam artikel kali ini,
segala-galanya tentang emas, logam berharga ciptaan Allah akan dikupas. Baiklah
sebelum cara menjana keuntungan dengan emas dibicarakan, keistimewaan melabur
dengan emas disenaraikan dan dibincangkan satu persatu.
Pertama, emas mempunyai
nilai tinggi di sisi masyarakat kerana warna kuning nya yang cantik dan
sifatnya yang lembut dan mudah dibentuk. Selain itu, emas adalah satu-satunya
logam yang dianggap kekayaan terulung disebabkan sifatnya yang tidak boleh
dibinasakan. Ia tidak boleh dibakar, reput, busuk dan berkarat. Di sinilah emas
dikategorikan sebagai penyimpan kekayaan terulung dunia. Sesuatu yang boleh
dibinasakan seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan bukanlah penyimpan yang
baik. Wang kertas pula boleh dimanipulasikan oleh kerajaan dengan
sewenang-wenangnya. Contohnya, Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang telah
bertindak mencetak wang yang terlalu banyak dan tidak seiring dengan
perkembangan di dalam pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan, mengakibatkan
negara tersebut mengalami hyperinflation.
Kadar inflasi di negara malang tersebut menjangkau sehingga
5,000,000,000,000,000,000,000%! Tetapi emas, penyimpannya akan kekal kaya
selaman-lamanya.
Kedua, emas mengekalkan
kuasa belinya dalam jangka masa yang panjang. Baiklah, sedikit cerita pada
zaman Rasulullah SAW. Dilaporkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, daripada ‘Urwah
yang bermaksud:
“(Pada
suatu hari) Rasulullah s.a.w menemui sekumpulan binatang ternakan yang hendak
dijual. Lalu Rasulullah s.a.w memberi kepada ku satu dinar dan
berkata: “Wahai Urwah, pergi kepada lelaki tersebut dan belikan untuk ku
seekor kambing.” Aku pun pergi menemui lelaki tersebut dan melakukan tawar
menawar sehingga aku dapat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar.
Kemudian aku membawa kedua ekor kambing tersebut. Di perjalanan, seorang lelaki
menemui aku dan ingin membeli salah seekor kambing daripada ku. Lalu aku
menjualnya dengan harga satu dinar. Kemudian aku berjumpa Rasulullah s.a.w
dengan membawa seekor kambing dan satu dinar lalu aku berkata: “Wahai
Rasulullah, inilah dinar dan kambing milik mu. ”Rasulullah bertanya: Bagaimana
kamu melakukannya? Aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku
lakukan lalu Baginda berkata: “Ya Allah, berkatilah perniagaannya.”
Dengan kata lain harga
semasa seekor kambing pada zaman Rasulullah ialah 1 dinar. Agak-agaknya berapa
harga kambing pada tahun 2012? 1 dinar! Tidak percaya? Baiklah, mengikut harga
emas pada masa artikel ini ditulis, harga 1 dinar emas adalah dalam RM719.
Bukankah ia adalah harga jualan kambing yang ideal? Sekiranya anda terlebih
rajin, kunjungilah pembekal daging kambing di Dengkil, ada beberapa di sana dan
anda akan dapati bahawa mereka menggunakan dinar emas sebagai medium jual beli
kambing. Itulah kehebatan emas.
Ketiga, Salah satu
daripada sebab kenapa anda perlu memiliki emas ialah dengan melihat kepada tren peningkatan harga emas yang semakin
menjadi-jadi sejak 10 tahun kebelakangan ini. Berdasarkan graf di bawah; harga
emas telah meningkat daripada 271.50 USD/Oz kepada USD1900.30/Oz. Ini merupakan
kenaikan 600% (bersamaan purata 60% setahun!). Untuk pengetahuan semua, emas
adalah komoditi yang didagangkan di pasaran dunia. Harga semasa dan rekod harga
emas yang lepas emas boleh dilihat di www.kitco.com dengan pantas.
Keempat, emas mudah
ditukarkan kepada tunai. Dengan kata lain emas merupakan aset yang sangat cair.
Dengan memiliki emas, anda boleh menukarkannya kepada tunai di kedai pajak
gadai Islam Ar-Rahnu. Institusi Ar-Rahnu boleh memberikan pinjaman antara 65%
sehingga 70% daripada nilai emas anda. Nilai pinjaman ini pula dikira
berdasarkan kepada harga emas semasa. Untung, bukan?
Tiada cukai dikenakan
kecuali zakat emas untuk orang islam, pembelian emas dalam negeri dapat
membantu aliran mata wang di dalam negeri sahaja berbanding membeli barangan
import seperti Honda, Toyota dan Mercedes, merupakan aset yang boleh diturunkan
ke waris tanpa perlu pertukaran dokumen, mahkamah dan campur tangan pihak
ketiga serta banyak lagi kehebatan melabur dalam emas. Cukup sampai di situ,
kita beralih cara-cara membuat pelaburan emas di Malaysia.
Secara am, terdapat dua
cara membuat pelaburan emas di Malaysia iaitu pelaburan secara emas fizikal dan
pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas Pelaburan emas secara fizikal
pula dibahagikan kepada tiga iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang
kemas. Syiling dan jongkong emas adalah pelaburan emas yang baik tetapi bukan
barang kemas kerana terdapat kos upah untuk membuat barang kemas tersebut dan
apabila ia ingin dijual kembali, ia akan dikenakan susut nilai antara 25%
sehingga 40%. Di Malaysia, disenaraikan institusi yang menjual emas fizikal
untuk pelaburan antaranya:
- Maybank: syiling Kijang Emas
- UOB Bank: syiling emas dan jongkong emas
- Public Gold
Marketing Sdn. Bhd: syiling emas dan
jongkong emas
- Public Dinar: dinar emas
- Dinar Emas
Kelantan: dinar emas Kelantan
- Kedai emas: Poh Kong, Habib Jewel, Tomei dan banyak lagi.
Bagi pelaburan emas
menggunakan buku akaun simpanan emas pula, biasanya ia ditawarkan oleh
institusi perbankan. Pelabur akan membeli emas mengikut harga emas semasa dan
kuantiti emas yang dibeli akan direkodkan di dalam buku akaun. Ada bank yang
menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal dan ada juga yang tidak,
antaranya ialah:
- Kuwait Finance
House Malaysia Gold Account-i: satu-satunya
pelaburan emas yang patuh Syariah, menawarkan emas fizikal kepada pelabur,
serta menawarkan pengeluaran emas fizikal dengan serta-merta setelah
membuat pembelian ataupun menyimpan emas tersebut ke Kuwait Finance House.
- Maybank gold
Investment Account (GIA): Pelabur tidak
mendapat emas fizikal sewaktu membeli emas MGIA sebaliknya jumlah
pembelian emas akan dicatatkan dalam buku. Maybank juga tidak menawarkan
kemudahan pengeluaran emas fizikal.
- Akaun Deposit
Emas CIMB Bank: Pelabur tidak
mendapat emas fizikal sebaliknya nilai emas yang dibeli akan dicatatkan di
dalam buku akaun deposit emas anda. Walau bagaimanapun CIMB menawarkan
kemudahan mengeluarkan emas fizikal kepada pelabur akaun deposit emas
mereka.
- Akaun Pelaburan
Emas UOB Bank. Terdapat 2 jenis
akaun pelaburan emas yang ditawarkan iaitu Akaun Simpanan Emas dan
Akaun Emas Premier. Akaun Simpanan Emas ini adalah bagi mereka yang ingin
membuat pelaburan kecil manakala Akaun Emas Premier dikhususkan kepada
mereka yang mempunyai lebih banyak wang.
- Al Rajhi Bank
Gold-i: Emas yang ditawarkan adalah emas PAMP
Suisse. Al Rajhi gold-i cuma ditawarkan kepada pelanggan yang banyak duit
(mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 di dalam akaun Al Rajhi) sahaja.

No comments:
Post a Comment