Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan
negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak
wang sesuka hati mereka.
Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk
segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.
Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika
sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada
kedudukan dolar Amerika.
Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang
berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama.
Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan
Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan
penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.
Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara
Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar
Amerika. Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang
berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung
atau insuran.
Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini
bukan saja orang individu tetapi juga negara. Bank Negara India telah membeli
200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan
harga emas pada hari itu.
Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk
disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan
kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti)
dapat diatasi.
Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India
membeli sehingga 200 tan emas untuk simpanan mereka?
Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar
Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama
daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan
masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.
Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya
menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini
bakal menaikkan lagi harga emas. Kita ingat semasa zaman ramai pelarian
meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari
daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka
menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.
Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai
orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan
kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas
tetap emas.
Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh
dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank
perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam “bentuk emas”
walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping
iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.
Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan
Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah
suatu tawaran di bursa kita.
Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai
pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.
No comments:
Post a Comment